I can't be who you are

when my times come forget the wrong that i've done, let me leave behind some reasons to be missed. Don't resent me when your feeling empty. Keep me in your memory... leave out all the rest... forgetting all the hurt inside you learn to hide so well.. pretending someone else can come and safe me from myself.. i can't be who you are...

Saturday, April 27, 2019

Aku rindu kampung aku

Aku rindu kampung aku. Selepas arwah pergi hidup aku seperti berhijrah lagi. Cuba meninggalkan kenangan manis aku bersama arwah. Aku selalu mimpikannya. Tapi disetiap mimpi itu arwah tidak pernah bersuara. Betapa hati aku menjerit mengatakan aku rindukannya.

Masa kecil aku hidup bersama arwah. Tidak ramai orang yang aku rapat dalam hidupku. Malah saudarapun tidak ada yang begitu rapat. Sedikitpun, aku tidak pernah rasa berkecil hati atau rendah diri. Aku lebih selesa begitu kerana itulah aku.

Aku dibesarkan oleh arwah tersayang di kampung. Pantang saja cuti sekolah, pasti aku dan abang menghabiskan cuti di kampung.

Aku masih ingat lagi, waktu abang aku kena tungau ayam di ***. Dia terpaksa jalan terkangkang dan sakit waktu nak kencing. Semenjak tu, dia tak pernah lagi masuk banglo ayam arwah.

Pagi2 mesti aku yang kena tangkap ayam. Kalau ayam terlepas terpaksalah aku kejar keliling rumah. Lepas sembelih, aku tolong arwah hidupkan kayu api bawah bangsal tuk masak air. Ayam akan dicelur, barulah bulu senang nak disiat-siat. Arwah ajar aku macam mana nak cuci bahagian dalam ayam. Kemudian, barulah ayam tu akan disalai bawah bara api. Kata arwah, supaya bulu2 halus tu terbakar.

Kalau mandi aku lebih puas mandi di perigi. Kadang2 kalau ada saudara balik kampung dapatlah aku dan abang mandi di sungai. Nasib baiklah sungai tak dekat dengan rumah arwah, kalau tak ke situ jelah aku.

Petang2 arwah tunjukkan skill mengait buah kelapa dengan mudah. Kopek buah kelapa dah menjadi perkara enteng baginya. Kalau aku kopek mahu makan masa 10-15 minit, tapi arwah tak sampai 3 minitpun. Aku tolong arwah asingkan kelapa tua. Kalau rajin aku kopek kulit kelapa untuk mudahkan arwah nak menggulai takpun jual beli dengan orang kampung. Sistem barter masih diaplikasikan lagi.

Kata arwah, pokok kelapa ni paling banyak gunanya, dari dahan hinggalah ke pucuknya. Petang2 masa aku sibuk mengejar anak ayam dan melayan kambing2. Arwah terkial-kial membuat sulaman daun kelapa. Rantingnya pula dijadikan penyapu lidi. Banyak juga penyapu lidi yang terhasil tuk dijual. Akupun selalu dapat upah 20 sen.

Kalau aku ada dikampung arwah tak perlu risau tuk menyediakan makanan binatang ternakannya. Begitu juga kebun buah dan sayur di tepi rumah. Walaupun kebun tu sekangkang kera, tapi macam2 yang dicucuk tanam. Ada pokok cili, pucuk ubi, serai, lengkuang, pokok limau,kunyit, terung, peria katak, kacang boncis, kacang panjang dll. Kalau nak bagitahu semua alamat dah macam artikel mengenai sayuran pula. Okey, jadi arwah hanya perlu ingatkan saja. Aku dan abang adalah jentera pelaksana.

Kalau petang2 hujan, tak banyak aktiviti yang boleh aku buat melainkan baring di pangkin rumah. Masa nilah arwah akan buatkan air milo panas. Air milo ni wajib dicicah dengan biskut panjang yang keras jenama Biskut Azan. Kemudian aku dan abang akan baring dipeha arwah. Arwah akan usap kepala kami sambil berzikir kecil. Kami bertiga akan menikmati petang yang sejuk dan indah tu dengan penuh ketenangan. Kami bahagia begitu.

Sedikit saja yang boleh aku coretkan tuk mengimbau kenangan aku bersama arwah, yang selebihnya biarlah aku simpan sendiri. Aku berkongsi cerita ini kerana mahu meluahkan betapa aku rindukan kenangan itu. Kini semua itu hanya memori. Memori manis yang terasa pahit dihati.